HANGZHOU: Skuad ragbi lelaki tujuh sebelah (7s) negara menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan suku akhir temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, di sini, hari ini.
Kejayaan menumbangkan Filipina 24-7 dalam aksi sulung Kumpulan A di padang Universiti Hangzhou Normal pada sebelah pagi sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku naib juara.
Bagaimanapun, dalam perlawanan kedua yang berlangsung di sebelah petang, Malaysia yang diberi julukan Bunga Raya 7s itu gagal menyaingi kehebatan Hong Kong selepas kecundang 7-40 di venue sama.
Hong Kong kemudian melakar kemenangan kedua selepas mengatasi Filipina 43-5 untuk mara ke suku akhir selaku juara kumpulan.
Menanti Malaysia di pentas suku akhir esok adalah juara Kumpulan B, Korea Selatan yang merupakan pemenang pingat gangsa edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Sebelum ini, pada edisi 2018, Korea Selatan menyingkirkan Malaysia di pentas suku akhir dengan keputusan 40-5.
Dalam pada itu, aksi suku akhir berbeza menyaksikan juara bertahan Hong Kong akan bertemu Taiwan, pemenang perak edisi 2018 Jepun bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China akan membuat perhitungan menentang Singapura. - Bernama