KUALA TERENGGANU: Seorang wanita berbangsa Kemboja maut dihempap pokok tumbang di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku pada 6.15 petang ketika permulaan hujan lebat di pantai berkenaan.

“Mangsa Saleha Ashaari, 49, yang bertaraf penduduk tetap dan berniaga di sekitar pantai tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat ibu kepada tiga orang anak dan tinggal di Kampung Berayun, Kijal itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Kemaman merupakan antara enam daerah di Terengganu yang diramal berlaku ribut petir dan hujan lebat bermula 5 petang hingga 9 malam ini.