KULIM: Seorang wanita lemas selepas dihanyutkan arus deras sewaktu berkelah bersama keluarga sempena cuti Deepvali di Taman Eko Rimba, Sungai Sedim dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata mangsa, A. Kasthuri, 41, lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air.

“Bomba menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian pada pukul 4.02 petang dan jentera pertama dengan kekuatan lima anggota tiba di lokasi pada pukul 4.39 petang.

“Operasi pencarian dimulakan di kawasan permukaan sekitar sungai...orang awam bersama pasukan bomba menemui mangsa pada pukul 5.50 petang di kawasan lubuk buluh, kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.