KUALA LUMPUR: Wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan meninggal dunia malam tadi pada usia 100 tahun.

Berita pemergian mendiang dikongsi cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerusi Facebook awal pagi tadi.

“Kehilangannya pada usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Kehilangannya tiada ganti. Kenangan bersamanya akan terus diabadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” katanya.

Menurut Ramanan, mendiang Devaki merupakan seorang tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia sehingga diberi gelaran ‘Grand Dame of Malaysian Indian Politics’ dan hayatnya diabdikan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Jasa dan kepimpinannya mengangkat martabat wanita di mata dunia. Seorang pionir sebagai wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia dan meninggalkan warisan gemilang dalam sejarah politik negara,” katanya.

Devaki dilahirkan pada 11 Mac 1923 memulakan karier sebagai guru sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Perbandaran di Kuala Lumpur pada 1952, sekali gus menjadi wanita pertama Malaysia dipilih sebagai penjawat awam.

Mendiang yang dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan terlibat dalam politik pada 1950 dan menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan presiden pengasas parti itu Datuk Onn Jaafar.

Selepas Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952, Devaki menjadi naib presiden MIC yang ketika itu hanyalah sebuah persatuan sosial dan kebajikan.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu antara individu yang terlibat menubuhkan bahagian wanita dalam MIC dan merupakan Setiausaha Wanita MIC Kebangsaan yang pertama pada 1975.

Devaki juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ahli Lembaga Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Naib Presiden Persatuan Wanita Asia Pan Pasifik dan Asia Tenggara, serta Ahli Majlis Majlis Kebangsaan Pertubuhan Warga Emas Malaysia.

Mendiang juga merupakan wanita India pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya termasuk Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada NCWO. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image