KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan empat hari bermula 6 Feb tahun depan untuk perbicaraan kes saman guru tadika M. Indira Gandhi (gambar) terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan yang didakwa gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan mereka yang dilarikan lelaki mualaf itu.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili kesemua defendan ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 6 hingga 9 Feb 2024 untuk perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Selain KPN dan kerajaan turut dinamakan sebagai defendan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pada 16 Julai 2021, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan keempat-empat defendan bagi membatalkan saman tersebut dan Mahkamah Rayuan pada 7 Sept 2022 mengekalkan keputusan berkenaan.
Dalam saman difailkan pada 28 Okt 2020, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan, kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan Prasana Diksa, yang kini berusia 15 tahun kepadanya.
Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.
Indira Gandhi mendakwa kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.
Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu, namun pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi pada 2010.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula Prasana Diksa untuk dikembalikan kepada Indira Gandhi. -Bernama