KUALA LUMPUR: Dua pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas lebih 60 pertuduhan menipu sebuah syarikat sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian lebih RM500,000 dari tahun 2020 hingga 2023.

Mohammad Shahrul Nizam Azman, 34, didakwa melakukan 61 pertuduhan menipu Syarikat Prasarana Negara Berhad, dengan membuat tuntutan yang tidak wujud sehingga menyebabkan syarikat itu membuat bayaran berjumlah RM562,896 ke dalam akaun bank tiga syarikat berbeza, yang mana syarikat itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 8 Jan 2020 dan 19 Jun 2023 di Menara UOA Bangsar di Brickfields, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Mohamed Hafiz Baharudin yang mewakili Shahrul Nizam, memohon jaminan dikurangkan atas alasan isteri anak guamnya sedang hamil dan perlu menanggung keluarga.

Seorang lagi pemandu e-panggilan Mohd Hafiz Azizi, 39, juga membuat pengakuan tidak bersalah atas 62 pertuduhan yang sama, membabitkan syarikat sama, sehingga mengalami kerugian RM555,949.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara 17 Jan 2020 hingga 7 Julai 2023 dan Mohd Hafiz juga didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Raihanah menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, namun peguam Dony Abdullah yang mewakili Mohd Hafiz memohon jaminan rendah.

Hakim Azrul Darus membenarkan Mohammad Shahrul Nizam diikat jamin RM46,000 dan Mohd Hafiz RM34,500, masing-masing dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image