PASIR PUTEH: Empat keluarga membabitkan 17 mangsa termasuk dua bayi dari Kampung Pachakan, di sini, mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu bagi memastikan keselamatan mereka.

Mahani Mohd Hanapi, 46, yang menjadi keluarga terawal dipindahkan berkata beliau bersama dua anaknya Siti Aisyah Rosli, 14, dan Siti Norbayah Mansur, 10, mengambil keputusan berpindah selepas menyedari bahagian dapur rumahnya dinaiki air sedalam 0.6 meter.

“Saya terbangun kira-kira 5 pagi untuk ke tandas apabila melihat sebahagian dapur telah dinaiki air. Ketika membuka pintu dapur, saya dapati sekeliling rumah telah dipenuhi air.

“Saya agak panik kerana ini kali pertama berdepan keadaan ini. Tanpa melengahkan masa saya terus kejutkan anak-anak dan capai apa yang patut sebelum keluar dari rumah dan berlindung di sebuah surau sementara menunggu kedatangan pihak bomba,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Dalam Rhu, di sini hari ini.

Mahani yang juga seorang ibu tunggal berkata keputusannya untuk berpindah awal dilakukan kerana bimbang keselamatan mereka bertiga, yang mungkin mengalami kesukaran untuk keluar dari rumahnya yang terletak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama.

“Saya panik kerana kami semua perempuan dan jalan untuk ke rumah kami digenangi air yang agak dalam. Syukur tidak lama kemudian pihak bomba datang mengambil kami sebelum dibawa ke PPS ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa Raja Laila Raja Deman, 41, berkata beliau tidak menyangka rumah yang disewa awal tahun ini dinaiki air lebih awal, sehingga memaksa beliau bersama suami dan empat anaknya termasuk bayinya Muhd Faras Ifat yang berumur lima bulan, terpaksa berpindah ke PPS.

Raja Laila bagaimanapun memberitahu beliau bersyukur kerana sempat membawa pakaian dan kelengkapan bayinya, selain dokumen penting yang disediakan lebih awal sebelum dibawa berpindah ke PPS tersebut.

“Suami pun telah buat persiapan awal semalam. Semua peralatan elektrik dan perabot telah diletakkan ke tempat yang lebih selamat, memandangkan hujan lebat sejak semalam,” katanya. -Bernama