the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
25.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Fadhlina: “Content” di media sosial perlu bermanfaat, tidak langgar etika

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan para guru menghasilkan kandungan di media sosial yang memberi manfaat, tidak melanggar garis panduan ditetapkan dan beretika.

Menterinya Fadhlina Sidek (gambar) berkata kandungan itu boleh dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan seperti membantu meningkatkan kefahaman terhadap subjek tertentu untuk murid dan kesedaran berkaitan dengan pembelajaran.

“Bagaimanapun garis panduan (sedia ada di peringkat KPM) mesti dipatuhi oleh semua guru,“ katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali hari ini yang mendesak guru supaya tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.

Mengenai Jaulah Ramadan, Fadhlina berkata pihaknya yang terdiri daripada kepimpinan tertinggi kementerian akan menghadiri program tersebut di 48 sekolah terpilih seluruh negara sepanjang Ramadan ini dengan pelbagai pengisian antaranya tazkirah, solat berjemaah, tarawih dan penghayatan hadis.

“Selain daripada memperkukuh hubungan antara KPM dan pihak pentadbir di sekolah, kita harap program Jaulah Ramadan ini juga dapat meningkatkan penghayatan Ramadan dalam kalangan anak-anak khususnya yang beragama Islam,“ katanya.

Fadhlina berkata melalui program itu pihaknya juga akan melihat peruntukan yang diperlukan pihak sekolah untuk keselesaan pelajar dan guru.

Pada majlis itu beliau turut berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama warga sekolah dan menyampaikan sumbangan kepada 150 murid asnaf dan miskin daripada tiga buah sekolah.

Program Jaulah Ramadan dilaksanakan pada setiap tahun sebagai aktiviti warga KPM sepanjang bulan puasa ini bagi mengeratkan hubungan dan ikatan ukhuwah di samping pengisian ilmu yang bermanfaat. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings