the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
25.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Haji furada: Syarikat pelancongan diperintah bayar RM634,000 kepada 25 bekas pelanggan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan syarikat pelancongan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd (HSTT) membayar baki bayaran pakej haji menggunakan visa furada berjumlah RM634,000 kepada 25 bekas pelanggannya.

Mereka terdiri daripada kumpulan 15 individu yang telah berlepas ke Jeddah selepas menerima e-visa namun terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz kerana visa terbabit adalah palsu manakala 10 lagi belum berlepas kerana tidak menerima e-visa walaupun sudah menjelaskan semua bayaran pakej haji dalam insiden pada 2019.

Menerusi keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan kesemua 25 individu selaku plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan terhadap syarikat itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Loke turut menolak tuntutan balas defendan iaitu ganti rugi sebanyak RM479,350 dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM75,000 kepada kesemua plaintif.

Peguam Khairun Niza Husnin, yang mewakili kesemua plaintif, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata kesemua plaintif lega dan bersyukur dengan keputusan itu dan berharap pihak pengurusan HSTT dapat menguruskan bayaran penghakiman seperti yang diarahkan.

“Ini kerana ada plaintif daripada golongan tua, tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka hanya menuntut hak mereka berikutan kemungkiran kontrak di pihak HSTT,“ katanya.

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh menerusi Tabung Haji.

Menerusi saman yang difailkan pada Ogos 2020, plaintif mendakwa sekitar 2019, mereka telah dipelawa menyertai pakej haji furada bagi tahun itu dan diberikan jaminan bahawa wang akan dipulangkan sekiranya pakej itu gagal.

Kesemua plaintif kemudian membayar pakej masing-masing yang secara keseluruhannya berjumlah RM795,000.

Pada 31 Julai 2019, defendan memaklumkan bahawa e-visa dikeluarkan kepada sebahagian jemaah termasuk 15 plaintif manakala mereka yang tidak menerima visa mendakwa telah dipelawa untuk mendapatkannya melalui kuota Visa Raja Salman dengan membayar RM7,000 setiap seorang.

Jemaah yang menerima e-visa telah memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Bagaimanapun, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, kesemua jemaah termasuk 15 plaintif telah gagal melepasi kaunter Imigresen selepas imbasan terhadap e-visa terbabit memaparkan identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, kesemua jemaah telah diarah pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019 selain wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah diniatkan. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings