SHAH ALAM: Hanya kira-kira tujuh peratus daripada 7,221 kilang tanpa kebenaran (KTK) yang beroperasi di Selangor berjaya diputihkan sejak 2006 hingga kini, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Ng Suee Lim (gambar).

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa perkara yang menghalang usaha pemutihan antaranya keengganan pihak pengusaha kilang untuk bekerjasama, syarat kebenaran merancang (KM) yang sukar dipatuhi, status hak milik premis dan tanah yang berbeza, dan kilang yang dibina atas tanah berstatus pertanian.

“Kita akan berusaha menyelesaikan masalah yang telah berlarutan hampir 20 tahun ini untuk memastikan Selangor menjadi negeri yang mesra perniagaan dan akan bantu mereka untuk menjana hasil ekonomi di kawasan setempat.

“Jadi hari ini kita mengadakan dialog awam ini untuk mencari titik persamaan di antara semua pihak dan pada masa yang sama mencari solusi,” katanya kepada media selepas Sesi Town Hall di antara Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor bersama Pemilik dan Pengusaha KTK di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata satu dasar akan dirangka tahun depan agar bantuan yang sesuai dapat diberikan kepada pengusaha dan pemilik untuk memutihkan kilang-kilang mereka.

Ng berkata dialog awam hari ini mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengusaha dan pemilik KTK di Shah Alam, dan menurutnya program yang sama akan diadakan dalam masa terdekat di Klang nanti. -Bernama