SINGAPURA: Kapal berdaftar di Singapura, Dali yang melanggar struktur Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Maryland yang kemudiannya runtuh, mempunyai klasifikasi yang sah dan sijil berkanun yang meliputi integriti struktur kapal dan fungsi peralatannya.
Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata kapal kargo itu juga telah menjalani dua pemeriksaan yang diluluskan oleh dua pelabuhan asing pada Jun dan September 2023 dengan klasifikasi dan tinjauan berkanun seterusnya dijangka pada Jun 2024.
“Pada pemeriksaan Jun 2023, alat pemantau tekanan bahan api yang rosak telah diperbetulkan sebelum kapal itu berlepas dari pelabuhan,“ katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dali berdaftar di Singapura sejak Oktober 2016 dan dikelaskan mengikut klasifikasi ClassNK.
Sementara itu, MPA dalam kenyataan sebelum ini berkata syarikat pengurusan kapal, Synergy Marine Pte Ltd, melaporkan kepada agensi itu bahawa sebelum kejadian Dali mengalami masalah pendorongan seketika.
“Akibatnya ia tidak dapat mengekalkan arah yang dikehendaki dan bertembung dengan jambatan Francis Scott Key.
“Kapal itu telah menjatuhkan sauhnya sebagai sebahagian daripada prosedur kecemasan kapal sebelum impaknya dengan jambatan. Kapal itu berada di bawah pengawasan semasa kejadian,“ menurut MPA.
Agensi itu juga berkata Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan dan MPA dalam perjalanan ke Baltimore, Maryland untuk menyokong siasatan.
Pihak berkuasa mengumumkan enam individu dianggap terbunuh pada petang Selasa dan mereka telah beralih daripada operasi mencari dan menyelamat kepada usaha pembaikan, lapor media.
Kesemua 22 kru Dali selamat. -Bernama