ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) merampas 623 produk yang mengandungi racun berjadual serta tidak berdaftar selain 19 peranti digital dianggarkan bernilai RM2.6 juta dalam operasi bersepadu di enam premis di sini, Selasa lepas.

Pengarah JKNK Datuk Dr Othman Warijo berkata operasi itu melibatkan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kedah dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan, CPF Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi bersepadu yang dinamakan Ops Runner ini diketuai oleh CPF Kedah dijalankan ke atas enam premis di sekitar bandar Alor Setar termasuk sebuah stor haram, tiga premis perniagaan dan dua rumah kediaman yang melibatkan 40 anggota Penguat kuasa Farmasi dan dua anggota polis.

“Ops Runner ini dijalankan bagi mengambil tindakan ke atas penjualan produk yang mengandungi racun berjadual dan produk tidak berdaftar secara dalam talian,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan produk yang dirampas disyaki untuk jualan di pasaran tempatan.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Dr Othman berkata orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dibeli mempunyai pelekat keselamatan Hologram Farmatag™ dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).

“Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status bagi tujuan semakan tersebut,“ katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk mengemukakan aduan produk kesihatan yang meragukan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau melalui Portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200. -Bernama