KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM749,760 termasuk cukai di pangkalan haram Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 960,000 batang bernilai RM105,600 manakala anggaran cukai RM644,160.

Beliau berkata rampasan itu dilakukan oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasa Kota Bharu kira-kira 5 pagi hasil risikan bahawa rokok berkenaan dibawa masuk dari negara jiran dengan menggunakan bot menerusi perairan negara berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Sewaktu operasi dijalankan, lapan lelaki sedang memunggah rokok dari bot ke daratan telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,“ katanya dalam sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Kastam Kota Bharu, di sini, hari ini.

Katanya kastam masih mengesan pemilik rokok itu yang dipercayai untuk pasaran di negeri ini di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Wan Jamal Abdul Salam berkata orang ramai digesa membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak melibatkan dengan aktiviti itu.

“Penyeludup bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kami menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat dan menghubungi di talian 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang berdekatan,“ katanya sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image