KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan pangkalan haram bagi kegiatan penyeludupan di sepanjang 106 kilometer Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand berikutan cuaca panas ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata sebelum ini terdapat kira-kira 140 pangkalan haram dikesan di sepanjang sungai berkenaan.
“Paras air Sungai Golok semakin menyusut dan tidak mustahil ada pihak yang mengambil kesempatan mewujudkan pangkalan haram baharu.
“... dengan keadaan sekarang mungkin jumlah pangkalan haram bertambah seolah-olah setiap satu kilometer akan wujudnya pangkalan haram,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kastam Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata meskipun pangkalan itu kecil atau baru diwujudkan, ia merupakan satu laluan haram dan dijadikan tempat menyeludup barangan antara kedua-dua belah negara.
“Kita di sempadan sentiasa perlu bekerjasama dengan kesemua agensi kerana suasana di sempadan di Sungai Golok sesuatu yang sukar dikawal. Kastam sentiasa meningkatkan usaha menyekat kegiatan penyeludupan daripada berleluasa,” katanya.
Sazali berkata sepanjang tahun lepas, Kastam Kelantan membuka 670 kertas siasatan dengan rampasan bernilai RM27.9 juta termasuk cukai.
“Rampasan terbesar melibatkan rokok dengan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM22 juta serta 386 kertas siasatan telah dibuka.
“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, pelbagai barangan seludup termasuk cukai bernilai RM6.8 juta telah dirampas dengan 272 kertas siasatan dibuka,” katanya.
Menurut Sazali rampasan kereta klon dan motosikal jenis Yamaha RX-Z adalah paling banyak dihasilkan dengan rampasan bernilai RM784,738 termasuk cukai.