PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis Hari Sukan Negara (HSN) 2023 bulan depan, anjuran kementerian itu mampu menarik penyertaan sebanyak 4.5 juta orang dari seluruh negara.
Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran berkata HSN 2023 bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak akan bermula 13-15 Okt ini manakala penganjuran bagi peringkat kebangsaan yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlangsung pada 14 Okt di perkarangan Istana Kehakiman, di sini.
Katanya, penganjuran HSN peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula ke 28 Okt bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 14 Okt ini.
“HSN merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata antara objektif penganjuran HSN kali ini adalah memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas, meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional.
Katanya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga mahu kesemua penyedia makanan yang terlibat dalam HSN 2023 agar menghidangkan menu sihat kepada pengunjung serta peserta dalam usaha mempromosi aspek pemakanan sihat.
Nagulendran pada masa sama menyeru semua pihak untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran HSN selain mengalu-alukan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta agar menjalin kerjasama strategik untuk memeriahkan sambutan HSN.
Sehubungan itu, beliau berkata sebarang cadangan kerjasama oleh mana-mana pihak bagi HSN 2023 boleh dihantar menerusi e-mel hsn@kbs.gov.my. -Bernama