TAWAU: Seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini hanya mampu melihat rumah pusaka yang didiami sejak kecil musnah dalam kebakaran petang tadi.

Pekerja kilang papan Farida Amir, 42, berkata dia dan keluarga tidak menyangka diuji kehilangan rumah pusaka serta tinggal sehelai sepinggang menjelang Ramadan.

“Saya tahu ada kebakaran di kampung dari kawan sekerja, selepas itu saya terus telefon anak, dia maklumkan api semakin dekat dengan rumah. Saya bergegas balik ke rumah, sampai sana rumah sudah tiada, terbakar.

“Keluarga semua selamat tetapi barang-barang termasuk dokumen diri semua terbakar. Sama sekali habis sampai hangus. Persiapan untuk Ramadan pun tiada,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rumah milik Farida antara 45 rumah atas air yang musnah dalam kebakaran di kampung itu kira-kira 2.30 petang tadi.

Farida berharap mendapat bantuan segera dan runsing memikirkan lokasi kediaman selepas ini.

Mohd Anton Taha, 58, pula kehilangan rumah yang didiami bersama keluarga di kawasan itu sejak setahun lepas.

Pengawal keselamatan di kilang papan itu berkata rumah itu dibeli pada tahun lepas dan ditambah baik untuk keselesaan tempat tinggal bersama isterinya serta mertua.

“Apa daya, rumah sudah hangus. Saya bergegas pulang dari tempat kerja, semua barang terbakar, persiapan untuk Ramadan pun musnah, rumah pun terbakar,“ katanya.

Mohd Anton turut berharap ada pihak yang prihatin dengan semua mangsa terlibat untuk menyalurkan bantuan. -Bernama