KEPALA BATAS: Polis sedang menunggu laporan sahsiah pelajar lelaki Tingkatan Satu yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian mencabul 14 pelajar lelaki golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di sini, bagi melengkapkan kertas siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata setakat ini pihaknya telah selesai merekodkan keterangan semua mangsa dan saksi yang terlibat.
“Kita perlu mendapatkan beberapa perkara lagi termasuk laporan sahsiah remaja berusia 13 tahun itu daripada sekolahnya (untuk lengkapkan siasatan).
“Kertas siasatan akan disiapkan secepat mungkin, kita jangka akan diserahkan kepada Polis Kontinjen Pulau Pinang pada minggu depan, seterusnya dihantar ke Bukit Aman sebelum diserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata remaja lelaki itu yang juga pelajar OKU telah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini, selepas siasatan terhadapnya selesai.
Mohd Asri berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bagi membantu siasatan berkaitan kejadian mencabul 14 pelajar lelaki OKU di asrama sebuah sekolah menengah di sini pada Jumaat.
Remaja terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada pengetua sekolah berkenaan dan kesemua mangsa berusia antara berusia 13 dan 14 tahun itu merupakan pelajar OKU yang mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan autisme. -Bernama