KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng (gambar) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa wang RM17 juta yang diserah kepada ahli perniagaan G.Gnanaraja adalah bagi menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, berkata ia adalah sebahagian wang hasil jualan tanah CZCSB kepada Zenith Urban Sdn Bhd dan Zarul Ahmad adalah antara pengarah syarikat itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya peguam Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada prosiding bagi mencabar kredibiliti saksi berkenaan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Haijan: Setuju dengan saya bahawa wang RM17 juta yang dibayar kepada Gnanaraja adalah sebahagian wang RM25 juta yang dipinjam Zenith Urban daripada Maybank untuk membeli lot tanah?

Zarul Ahmad: Ya.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad tidak bersetuju cadangan dengan peguam itu bahawa beliau membuat pinjaman semata-mata untuk memberi rasuah kepada Gnanaraja kerana terdapat perjanjian jual beli tanah.

Saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju dengan Haijan bahawa keterangan beliau kepada SPRM menyatakan wang RM2 juta yang diberikan kepada Gnanaraja adalah wang yang dipinjam daripada Pengarah Urusan Vizione Construction Sdn Bhd Datuk Ng Aun Hooi manakala keterangan di mahkamah memaklumkan ia adalah hasil daripada jualan tanah.

Kepada soalan peguam RSN Rayer sama ada saksi itu menyebut nama Lim Guan Eng dalam keterangannya kepada SPRM, Zarul Ahmad berkata “Saya tak ada sebut.”

Terdahulu, Azura meminta pihak pembelaan agar tidak mengulangi soalannya selepas Haijan melontarkan pertanyaan serupa kepada Zarul Ahmad mengenai sumber RM2 juta yang diberikan kepada Gnanaraja.

Hakim itu berkata pembelaan boleh mengemukakan hujahan pada akhir prosiding mencabar kredibiliti saksi kerana soalan serupa yang diajukan akan melengahkan prosiding kes tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan bersambung Khamis ini. -Bernama