PUTRAJAYA: Keputusan analisis makmal sama ada terdapat kehadiran alga berbahaya terhadap kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan dijangka diketahui esok, kata Jabatan Perikanan (DOF).

Dalam kenyataan hari ini, DOF memaklumkan pihaknya masih menjalankan analisis makmal terhadap kupang di perairan Port Dickson.

“DOF sebelum ini telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan larangan sementara bagi menjual dan mengeluarkan kupang ternakan sama ada melalui sistem panggar atau pancang,” menurut kenyataan itu.

DOF sentiasa melaksanakan pemantauan keselamatan kerang-kerangan di Malaysia secara berjadual di bawah Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP) yang melibatkan sampel kerang-kerangan ternakan dan liar.

“Orang ramai juga diminta melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri atau Daerah yang berdekatan jika melihat perubahan warna air laut yang mencurigakan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, DOF Negeri Sembilan dilapor telah mengambil sampel kupang dan air di perairan Port Dickson susulan dakwaan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut itu.

Pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang dilapor mengeluarkan hebahan larangan membeli serta memakan kupang dan kerang tempatan buat sementara waktu berikutan terdapat kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan kupang dan kerang dari perairan Port Dickson.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image