MELAKA: Laungan keramat “merdeka” kembali bergema di Banda Hilir di sini, malam ini bagi mengenang perisitiwa bersejarah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj daripada cengkaman penjajah di Padang Banda Hilir pada tarikh ini.

Sambutan ini dianggap penuh bersejarah kerana ia pertama kali diadakan selepas Tunku Abdul Rahman pertama kali mengumumkan kemerdekaan negara kira-kira 68 tahun lalu.

Perarakan bermula dari Bangunan Merah Stadhuys menuju ke Dataran Memorial Kemerdekaan sejauh kira-kira 600 meter dengan perarakan diketuai sebuah kereta antik bernombor pendaftaran M4442 yang dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kenderaan berjenama Nash Rambler Custom jenis ‘convertible’ buatan 1951 itu pernah dinaiki Tunku Abdul Rahman dan wakil Sultan Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz ketika negarawan itu bersama rombongan merdeka pulang dari London ke Padang Banda Hilir pada 20 Feb 1956.

Sebaik tiba di pentas utama dataran berkenaan, Anwar, yang melakonkan watak Tunku Abdul Rahman, membuat pemeriksaan barisan pemuda sebelum Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran, yang bertindak sebagai Tun V.T. Sambanthan, mengalungkan bunga malai kepada Anwar sambil diperhatikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang melakonkan watak Setiausaha Agung MCA Tun Tan Cheng Lock.

Sambutan diteruskan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Acara Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Tun Abdul Ghafar Baba yang dilakonkan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, disusuli ucapan oleh Ab Rauf yang memegang watak Datuk Panglima Bukit Gantang.

Laungan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali kemudiannya bergema sejurus Anwar, yang memegang watak Tunku Abdul Rahman membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati sambutan ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Keris Sapukal, yang merupakan keris sebenar pernah dipegang oleh Tunku Abdul Rahman semasa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu turut diserahkan kepada Anwar oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin yang memegang watak Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Melaka pada 1956 iaitu Zainab Samdin.

Sambutan diteruskan dengan Malam Aneka Warna yang menampilkan persembahan teater muzikal bertajuk “Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baharu” yang mempersembahkan babak-babak menarik dari bermulanya Jepun menjajah Tanah Melayu sehinggalah detik Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kira-kira 1,500 peserta terlibat dalam perarakan dan Malam Aneka Warna itu membabitkan anggota pasukan badan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta parti politik.

Pengisytiharan rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bagaimanapun berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Melaka turut mengumumkan 20 Feb sebagai cuti umum negeri bermula pada tahun ini. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image