PUTRAJAYA: Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal dalam permohonan untuk mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Datuk Mary Lim Thiam Suan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan kebenaran merayu dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Ini bermakna penghakiman Mahkamah Rayuan pada 23 Nov tahun lepas, bahawa penggunaan bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajaran di sekolah berkenaan tidak dilarang di sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular adalah kekal.

Hakim Lim yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kedua-dua pemohon (Mappim dan Gapena) manakala Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pula membuat keputusan bertentangan.

Hakim Lim yang membacakan keputusan majoriti itu berkata mahkamah berpandangan bahawa Mappim dan Gapena gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberikan kebenaran merayu berhubung persoalan perlembagaan yang telah dipinda oleh pemohon.

“Oleh itu, permohonan kebenaran merayu ditolak tanpa kos,“ kata Hakim Lim.

Sebelum ini, kedua-dua NGO itu, menerusi peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengemukakan lapan persoalan iaitu enam persoalan perlembagaan dan dua persoalan undang-undang namun persoalan itu kemudian dipinda dan hanya satu dikemukakan kepada mahkamah.

Persoalan perlembagaan itu adalah sama ada bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), merupakan urusan rasmi dan tertakluk kepada kewajipan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan untuk semua urusan rasmi.

Pada 29 Dis 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan memutuskan penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Pada 29 Mei 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bahru, Kelantan, Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) juga memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Bagaimanapun, keempat-empat NGO itu melainkan GPMS memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan manakala Isma dan I-Guru tidak mengemukakan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim dan Gapena serta Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, persatuan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia dan Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) sebagai defendan.

Bagi I-Guru pula, pertubuhan itu menyaman Menteri Pendidikan, Kerajaan Malaysia, memohon perisytiharan bahawa Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil Neri dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, MCA dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dibenarkan sebagai pencelah dalam saman yang difailkan I-Guru.

Pada prosiding hari ini, hanya responden ke-11 dan ke-12 iaitu Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia serta Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia (Pertama) menyokong pemohonan kebenaran itu manakala 10 responden lain termasuk Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia membantah.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri berhujah bahawa permohonan kebenaran itu membabitkan perkara berkepentingan awam yang tidak pernah dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak sejak merdeka lagi.

Menurut peguam itu, ia perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk didengar supaya boleh diputuskan oleh mahkamah tertinggi di negara ini.

“Kalau ada keputusan di Mahkamah Persekutuan, mungkin ia tidak akan dicabar lagi...tetapi jika permohonan ini hanya diputuskan di Mahkamah Rayuan, mungkin akan ada cabaran dalam masa 10 tahun akan datang iaitu ada pihak yang membawa isu sama ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan dan Menteri Pendidikan berhujah tiada merit dalam permohonan pemohon dan kedua-dua NGO tersebut gagal membuktikan kes berkenaan mempunyai kepentingan awam.

“Saya mendapat arahan daripada anak guam saya untuk menentang permohonan ini kerana mereka mahu memelihara dan menyelenggara sekolah vernakular,” katanya.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang bertindak bagi Chong Hwa Independent High School, Kuala Lumpur berkata beliau telah menerima arahan untuk menentang persoalan itu kerana terdapat perbezaan antara isu politik dan undang-undang.

“Tidak perlu mahkamah memberi kebenaran untuk mendengar isu perlembagaan,” kata peguam itu. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image