Your Title

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berharap Kerajaan Perpaduan dapat memasukkan peranan dan tanggungjawab jawatankuasa itu ke dalam pindaan Akta Audit 1957.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin (gambar) berkata kerajaan bercadang meminda akta berkenaan tahun depan dan jawatankuasa itu bersedia berbincang bersama Jabatan Ketua Audit Negara (JAN) bagi membolehkan PAC melaksanakan peranan dengan lebih baik.

“Saya percaya dengan komitmen Ketua Audit Negara, Jabatan Penguam Negara serta PUU (pegawai undang-undang) untuk melihat dan mengambil kira tugas PAC.

“Saya juga yakin dengan sesi libat urus (dengan semua pihak terlibat) dari masa ke masa, kita boleh bincangkan apa yang terbaik untuk jalinan kerjasama yang lebih mantap pada masa hadapan dan melihat kuasa serta tanggungjawab PAC dapat dilaksana dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan pasukan JAN mengadakan pembentangan yang komprehensif kepada PAC susulan tiga naskah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi 2022 yang dikeluarkan JAN, hari ini.

Tiga naskah laporan iatu ialah LKAN 2022 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Perekutuan, LKAN 2022 bagi Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan dan LKAN 2022 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar. -Bernama