JOHOR BAHRU: Masimo Medical Technologies Malaysia Sdn Bhd (Masimo Malaysia), sebuah syarikat peranti perubatan dan teknologi melabur RM100 juta dalam kemudahan pengeluaran baharu di Pasir Gudang, dekat sini.

Pengurus kilang Jayakumar Krishnan berkata kemudahan itu mempunyai kapasiti pengeluaran maksimum 100 juta peranti setahun untuk pasaran domestik dan eksport.

“Kemudahan termaju ini memperlihatkan komitmen pelaburan yang besar kami dalam masa depan penjagaan kesihatan.

“Kami teruja untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik dengan infrastruktur yang teguh untuk memacu inovasi dan pertumbuhan di rantau ini,“ katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang itu hari ini.

Beliau berkata pembukaan kilang baharu itu mengesahkan komitmen syarikat untuk memajukan teknologi perubatan dan penjagaan pesakit di Malaysia.

“Kilang ini adalah simbol dedikasi kami terhadap kecemerlangan, inovasi dan pertumbuhan.

“Dilengkapi dengan teknologi termaju, ia meletakkan kami untuk menghadapi cabaran masa depan sambil memastikan produk kami berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, pengarah eksekutif pembangunan pembuatan (sumber) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Umarani Muniandy berkata hasil daripada budaya inovasi Malaysia yang rancak, industri teknologi perubatan telah mengalami pertumbuhan yang ketara.

“Pada masa ini, Malaysia dengan bangganya menempatkan kira-kira 30 syarikat teknologi perubatan multinasional, yang terlibat dalam spektrum aktiviti meluas, daripada pembuatan kepada penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas, sebanyak RM2.17 bilion pelaburan diluluskan bagi industri peranti perubatan, terdiri daripada 26 projek, dengan pelaburan asing membentuk 54 peratus, manakala baki 46 peratus daripada sumber domestik.

“Ini membuktikan keupayaan pembuatan kami yang teguh, asas penyelidikan yang berkembang maju dan ekosistem berinovasi, yang berfungsi sebagai cadangan nilai yang kukuh untuk syarikat teknologi perubatan mengembangkan operasi mereka di sini,“ katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia yang teguh dalam komitmennya untuk memperkukuh industri teknologi perubatan telah memperkemas peraturan, bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra untuk pelabur antarabangsa.

Langkah strategik ini direka untuk mengembangkan pasaran Malaysia serta memupuk ekosistem yang bertenaga untuk kemajuan perubatan, katanya.

“Strategi nasional kami ialah mengutamakan industri peranti perubatan dalam Misi 1 Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Visi kami adalah jelas: untuk mengangkat Malaysia sebagai kuasa pembuatan yang dipacu inovasi yang diiktiraf di peringkat global,” katanya. -Bernama