KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melipatgandakan usaha serta memperluaskan penanaman padi di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata penanaman padi secara besar-besaran di seluruh negara, akan dapat menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan perubahan iklim.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang dilaksanakan KPKM itu, memberi penumpuan kepada model dan amalan pertanian baik sebagaimana yang dilaksakan pesawah di Sekinchan, Selangor.
Selain berupaya menambah pendapatan golongan pesawah menerusi peningkatan hasil padi, program itu juga disasarkan untuk membantu menghentikan kebergantungan negara terhadap beras import dalam tempoh dua tahun.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang kini sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar. -Bernama