MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sejumlah 14,683 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 sejak 1 April hingga semalam.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 7,785 notis membabitkan motosikal yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya ditetapkan.

“Antara kesalahan motosikal yang diperiksa ialah 3,283 kes membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans, tiada lesen memandu (2,681 kes) dan lain-lain.

“Dalam tempoh itu juga JPJ memeriksa 59,771 kenderaan termasuk 25,841 motosikal yang telah diperiksa pada Op Khas HRA 2024 setakat ini,“ katanya kepada pemberita dalam operasi di Jalan Tun Fatimah, Bachang di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan Strategik Bahagian Penguatkuasa JPJ Dr Azmi Awang dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut Lokman berkata JPJ akan melaksanakan operasi khas secara berfokus sempena perayaan Aidilfitri bermula Isnin lepas sehingga 20 April depan dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Beliau berkata op khas itu juga akan memfokuskan kepada pengesanan pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan lain-lain.

“Justeru, bagi memastikan peningkatan pematuhan dan keperluan untuk memperbaiki tingkah laku pemandu, JPJ akan melaksanakan tiga jenis Op dalam tempoh tersebut iaitu Op Khas Kenderaan Komersial dan Teknikal (Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Barangan (KPB), Op Khas Motosikal dan Op Khas Sembilan Kesalahan Utama.

“Selain itu JPJ juga melaksanakan pemeriksaan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama sepanjang tempoh ini bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image