PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) menahan 164 individu dan merampas 26,213 naskhah al-Quran serta bahan bacaan ayat suci al-Quran bernilai RM3.1 juta menerusi Ops Mulia yang dijalankan di seluruh negara sepanjang Mac lepas.

Setiausaha Bahagian PK KDN Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua warga tempatan berusia 30 hingga 50 itu ditahan di lokasi berasingan kerana dipercayai mengedar, menjual dan menjilid al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata sebanyak 1,082 premis diperiksa sepanjang Ops Mulia dengan sebuah syarikat percetakan di Seri Kembangan, Selangor dikesan melakukan kerja menjilid al-Quran tanpa kebenaran selain membenarkan ia dilakukan bukan Islam.

“Sekarang proses tindakan sedang diambil terhadap syarikat itu dan siasatan sedang berjalan. Dalam Ops Mulia ini, hanya satu syarikat dikesan menjilid al-Quran tanpa lesen.

“Kesemua al-Quran yang dirampas ini tidak mempunyai cap perakuan dan pelekat hologram KDN. Sebahagian al-Quran dirampas itu turut diperoleh menerusi advokasi Jom Exhange al-Quran anjuran KDN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan al-Quran termahal berjumlah RM599 senaskah manakala bahan perhiasan pula adalah RM5,290.

Ditanya adakah penjualan al-Quran mempunyai kaitan dengan sindiket, beliau berkata aktiviti berkenaan bersifat individu kerana jenis al-Quran tidak sama.

“Ada bahan perhiasan yang dijual ini tidak mempunyai ayat al-Quran yang jelas dan merupakan satu bentuk kesalahan,” katanya.

Nik Yusaimi berkata KDN komited untuk memastikan hanya teks Al-Quran yang sahih dalam pelbagai bentuk berada dalam kalangan komuniti.

Sehingga kini terdapat 965 jenis terbitan al-Quran yang diuluskan KDN sama ada untuk dijual, dimiliki ataupun diedar.

“Oleh itu, masyarakat diseru agar tidak memilih naskhah al-Quran yang tiada kelulusan dengan memastikan naskhah al-Quran berkenaan mempunyai cap perakuan dan pelekat hologram KDN,” katanya.

Beliau berkata KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan ataupun pengedaran al-Quran atau bahan ayat suci yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran (Pindaan 2023).

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbitkan dan menjual teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN,” katanya.

Beliau berkata pihak atau individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Pindaan 2023).

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan teks al-Quran termasuk hasil penerbitan tidak dingini dengan menghubungi KDN di talian 03-8000 8000 atau melalui laman sesawang KDN di www.moha.gov.my. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image