• 2023-12-21 08:07 PM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah (LVG) berharga RM500 dan ke bawah yang dijual dalam talian akan membolehkan perniagaan tempatan memasarkan produk mereka dengan kualiti yang sama dengan harga jualan yang sama sekali gus meningkatkan permintaan pengguna.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS) Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata cukai yang akan bermula pada 1 Januari tahun depan akan membolehkan penstabilan harga antara barangan import dan tempatan kerana LVG yang diimport pada masa ini tidak dikenakan sebarang cukai manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak enam peratus (SST) dikenakan ke atas item keluaran tempatan mengakibatkannya diketepikan oleh pengguna.

“Jika ada barangan yang sama dari segi fungsi dan kegunaannya, dan ianya dibuat oleh pengeluar tempatan dan luar negara, sudah tentu kos pembuatannya akan lebih kurang sama, ia akan membawa harga jualan yang sama. Namun, cukai SST enam peratus akan menyebabkan barangan tempatan lebih mahal.

“Dengan adanya cukai LVG 10 peratus itu, barangan tempatan kini akan nampak lebih murah dan mendapat pemintaan. Cukai ini juga hanya dikenakan kepada barangan bernilai kurang daripada RM500 dan oleh itu walaupun kadar cukainya adalah 10 peratus, ianya tidak membebankan kerana hanya dikenakan kepada barangan bernilai rendah,“ katanya kepada Bernama.

Kementerian Kewangan (MoF) pada 18 Dis mengumumkan bahawa cukai 10 peratus akan dikenakan ke atas LVG import yang dijual dalam talian untuk menyamakan kedudukan perniagaan di Malaysia terutamanya perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Menurut MoF, walaupun terdapat amalan global yang lazim untuk tidak mengenakan cukai jualan dan duti import ke atas import di bawah nilai “de minimis” (minimum), yang ditetapkan pada RM500 untuk Malaysia, bagi memudahkan pelepasan kastam untuk pos dan kurier penghantaran, percambahan peruncitan dalam talian telah mencipta kelebihan yang tidak adil untuk perniagaan dalam talian yang menjual terus kepada pengguna Malaysia berbanding perniagaan runcit fizikal di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai cukai itu, Razman berkata pelaksanaannya bukan sahaja akan membantu perniagaan tempatan meningkatkan jualan mereka yang seterusnya boleh menyebabkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan ekonomi domestik yang lebih mampan, ia juga akan membantu kerajaan meningkatkan pendapatannya dan mengukuhkan ringgit melalui pengurangan aliran tunai luar negara.

Sementara itu Ketua Sosial, Undang-undang dan Hak Asasi Manusia di EMIR Research Jason Loh Seong Wei berkata bergantung kepada keanjalan cukai, peningkatan dalam hasil atau pendapatan PKS tempatan berpotensi mendorong pendapatan bercukai mereka ke kumpulan yang lebih tinggi yang menyamai lebih banyak kutipan cukai untuk kerajaan.

“Ini kerana pengenaan cukai LVG pada 10 peratus mewakili tambahan RM1 kepada harga belian barangan import sebanyak RM10 mewakili sehingga 4.7 peratus dari segi nilai pembelian sebenar apabila mengambil kira kos pertukaran mata wang,” katanya. .

Jason berkata mengurangkan kuasa beli dan kapasiti perbelanjaan pengguna juga akan menggalakkan peralihan kepada item yang tersedia di dalam negara.

Beliau berkata pelaksanaan cukai LVG adalah langkah strategik untuk meluaskan asas cukai tanpa memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana ia melibatkan pembelian terus barangan import dalam talian daripada penjual asing.

“Sebarang kenaikan harga keseluruhan barangan import adalah terhad dan tidak akan menjejaskan seluruh ekonomi, ia mempunyai kesan inflasi. Jika penjual memilih untuk menyerap cukai LVG sahaja maka pembeli akan menanggung beban cukai,” katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Adilah Azhari berkata cukai itu tidak dapat dielakkan, ia akan memberi kesan kepada sesetengah penjual dalam talian seperti mereka di Shopee yang menjual barangan import.

“Peniaga di platform dalam talian boleh menawarkan harga yang murah kerana mereka tiada kos overhed yang banyak dan boleh mengurangkan kos tetapi jika ditambah 10 peratus cukai ini, ia akan memberi beban dan akhirnya akan dilepaskan kepada pengguna.

“Sewaktu kerajaan ingin meningkatkan duti ‘high value good duti antara lima hingga 10 peratus tetapi kenapa untuk LVG, kerajaan terus memutuskan 10 peratus? Bagi pendapat saya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan cukai berkenaan kerana sara hidup semakin meningkat,” katanya. -Bernama