SHAH ALAM: Seorang pemandu lori kontena maut selepas tersepit hampir dua jam apabila kenderaan dipandunya itu terbabas di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menuju ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS) awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.04 pagi sebelum menggerakkan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Shah Alam ke lokasi.
“Kemalangan disyaki berlaku akibat lori kontena itu terbabas sendiri dan laporan awal komander operasi mendapati mangsa lelaki warga tempatan telah tersepit dengan status keadaan mangsa masih sedar dan mengalami kecederaan ketika kejadian.
“Namun, mangsa yang telah berjaya dikeluarkan kira-kira 5.33 pagi kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya setelah operasi mengeluarkan mangsa berusia 33 tahun itu tamat pada 6.20 pagi tadi.