Your Title

PARIT: Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah di sini menghadiahkan wang tunai masing-masing RM1,000 kepada dua pelajar sekolah itu, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sabarudin Othman berkata sumbangan peribadi itu, diberikan sebagai pembakar semangat kepada kedua-dua pelajar berusia 20 tahun itu, yang akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Kedua-dua pelajar berkenaan ialah Nur Izah Sabri dan Nur Haziqah Az-zahra Yusaini.

Sabarudin berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM100 kepada setiap pelajar yang memperoleh PNGK 3.00 ke atas.

“Kira-kira 85 peratus pelajar di sekolah ini terdiri daripada golongan B40, yang majoritinya ibu bapa mereka merupakan peneroka dan bekerja kampung.

“Jadi sumbangan wang tunai ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang akan melanjutkan pengajian ke universiti, yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian sumbangan kepada pelajar STPM, di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Nur Izah berkata beliau tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan, memandangkan hanya memperoleh keputusan yang tidak memberangsangkan semasa peperiksaan percubaan sebelum ini.

Anak ketiga dari empat beradik itu yang merupakan anak peneroka dari Felcra Nasaruddin, Bota di sini berkata beliau bercadang melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dan mahu menjadi seorang guru.

“Saya akan gunakan wang sumbangan dari pengetua untuk membeli barang keperluan sebagai persediaan memasuki universiti dan saya akan belanja ibu dan bapa saya makan nanti,” katanya. -Bernama