KUALA LUMPUR: Tarikh perbicaraan saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) terhadap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim telah ditukar daripada Julai 2026 kepada Januari 2025.

Phoon Wai Ken yang mewakili Anwar berkata sebelum ini tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Julai 2026, bagaimanapun mahkamah hari ini memberitahu tarikh baharu perbicaraan pada 20 dan 23 Jan serta 12 dan 13 Jan 2025.

“Sehubungan itu tarikh yang ditetapkan pada 2026 sebelum ini, dilapangkan,“ katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Pada 3 Mac lepas Anwar sebagai plaintif menfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin (defendan) atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah dibuat oleh Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Feb lepas.

Menurut Anwar kenyataan itu yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.

Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau yang mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.

Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa, dan sehubungan itu Anwar menuntut antaranya ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen, atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah yang didakwanya sebagai fitnah itu. -Bernama