Your Title

SEPANG: Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari yang juga kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas.

Pesawat Air China yang membawa Li dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 8.44 malam.

Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Sejurus tiba, Li memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.

Lawatan beliau juga adalah bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Semasa lawatan itu, Li dijadual mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Anwar dan Li akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China.

Li juga akan mengadakan kunjungan bagi menghadap Kebawah Duli Yang Maha Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri China itu juga dijangka menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (US$98.90 bilion).

Hubungan Malaysia dan China semakin kukuh susulan peningkatan hubungan dua hala melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.