Your Title

JELI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan di Kampung Kalai, Batu Melintang, di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata tangkapan gajah liar itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan mamalia itu, memasuki kawasan kebun penduduk.

“Seramai tujuh orang anggota dari Jabatan Perhilitan daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan, telah menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap haiwan liar itu.

“Tindakan ini (tangkap) sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan kampung terbabit dan dapat mengelakkan kerugian akibat konflik gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Hafid berkata operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar itu, akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan dua ekor gajah denak serta kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

“Tindakan tangkap dan pemindahan gajah liar itu bukan penyelesaian jangka panjang, berikutan kawasan kebun itu berhampiran hutan simpan kekal (HSK) Gunung Basor dan bersempadan dengan hutan simpan (HS) Temenggor Perak.

“Dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini, lebih daripada 50 ekor,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan, dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah-langkah mitigasi.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya diri sendiri,” katanya. -Bernama