ARAU: Polis hari ini melupuskan 1,100 liter cecair dan 2.4 tan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM35,000 melibatkan 304 kertas siasatan di daerah ini dari 2011 hingga 2022 yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata barang kes ketum itu dilupuskan dengan arahan mahkamah setelah kes itu selesai dan tamat tempoh rayuan.

“Pelupusan ini dilaksanakan secara tanam timbus yang telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini.

Ahmad Mohsin berkata pihaknya komited membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu dengan memfokuskan kepada tangkapan pengedar yang bergiat aktif di daerah ini.

“Statistik tangkapan Akta Racun 1952 dari 2021 hingga 2023 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Arau, menunjukkan berlaku penurunan secara drastik iaitu daripada 111 kes pada 2021, turun kepada 98 kes pada 2022 dan berkurang lagi kepada 38 kes setakat tahun ini,” katanya. -Bernama