KUCHING: Polis Sarawak akan memperketatkan lagi kawalan keselamatan sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) yang berlangsung mulai esok hingga 30 Nov ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata (gambar) berkata langkah ituntuk memastikan keselamatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terjamin memandangkan beliau dijangkakan hadir ke forum tersebut.
“Kita telah siap sedia untuk memperketatkan, mempertingkatkan kawalan keselamatan semasa kehadiran beliau di sini.
“Setakat ini, polis telah mengatur gerak operasi atau kawalan keselamatan yang begitu ketat, termasuk juga risikan,” katanya pada sidang media sempena GMBF di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata polis telah menerima satu laporan berhubung ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri.
Semalam telah tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik, namun video tersebut sudah dipadamkan.
Mancha berkata sejumlah 559 anggota polis yang terdiri daripada 70 pegawai kanan polis telah dikerahkan dan bersiap siaga sepanjang forum berlangsung.
“Petugas di lapangan melibatkan semua elemen Polis Diraja Malaysia dengan menumpukan aspek penugasan merangkumi kawalan keselamatan ke atas VVIP dan orang ramai, kawalan lalu lintas dan pelan tindakan sekiranya perkara di luar jangkaan berlaku.
“Difahamkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari serta menteri-menteri, duta dari dalam dan luar negara akan hadir, selain daripada 718 orang peserta, termasuk moderator dan speaker dari 48 buah negara” katanya. -Bernama