Your Title

SEREMBAN: Program Jualan Rahmah di Negeri Sembilan merekodkan nilai jualan sebanyak RM7.3 juta bagi tempoh Mei hingga 15 Nov lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata ia membabitkan 22 siri dan 235 kali jualan yang memanfaatkan 447,772 pengguna di seluruh negeri.

“Sambutan yang diterima oleh orang ramai sangat menggalakkan, mereka menikmati harga subsidi yang diberikan oleh kerajaan untuk barangan keperluan asas termasuk ayam, telur, beras dan minyak masak.

“Jualan ini dilakukan secara berterusan iaitu secara mingguan membabitkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN). Tiada aduan mengenai barang cepat habis atau peniaga sengaja menaikkan harga,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama dengan rakan strategik iaitu pasar raya dan kedai-kedai runcit juga amat baik apabila turut membantu memberikan potongan harga ke atas barangan jualan sekali gus meringankan beban kewangan pembeli.

Selain itu, katanya sebanyak 85 Jualan Rahmah Bergerak dilaksanakan setakat 15 Nov lepas dan mendapat sambutan tinggi dalam kalangan penduduk dengan stok jualan yang dibawa habis dengan cepat setiap kali ia diadakan.

Dalam pada itu, Muhammad Zahir berkata pihaknya telah melaksanakan Program Jualan Rahmah Bergerak ke kawasan pedalaman sejak Julai lepas dan masih diteruskan mengikut jadual setakat ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata Jualan Rahmah perlu diadakan setiap minggu dengan diperluaskan di kawasan pedalaman bagi menangani isu kekurangan barangan keperluan di kawasan berkenaan. -Bernama