the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Projek pembangunan Ladang Hutan Simpan Kledang Saiong terima kelulusan EIA, RPLH

IPOH: Projek Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) di Hutan Simpan Kledang Saiong, Kuala Kangsar telah mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata bagaimanapun pada masa ini, penubuhan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong itu, masih belum dilaksanakan.

“Pihak kerajaan Negeri akan memastikan kepentingan penduduk berhampiran terpelihara, walaupun pembangunan ladang hutan itu dilaksanakan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan turun padang ke negeri Perak dan diberikan taklimat mengenai amalan pengurusan hutan secara berkekalan, PPLH dan pengoperasian Galeri Lenggong Geopark, pagi tadi.

Pada Februari lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyembah maklum kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, berhubung projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong, yang dibantah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu pada 17 Feb, lapan NGO telah menyerahkan memorandum bantahan cadangan projek pembangunan ladang hutan berkeluasan 4,280 hektar di HSK Kledang Saiong, kepada wakil Pejabat Sultan Perak di Kuala Kangsar, bagi memohon campur tangan Sultan Nazrin agar projek ladang monokultur itu dibatalkan.

Kandungan memorandum itu antaranya meminta Sultan Nazrin memanjangkan kepada pihak berkuasa negeri, supaya mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-79 pada 2 Dis 2021, yang bersetuju secara prinsip mengenai pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung selama 15 tahun.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata beliau turut meninjau keadaan semasa di kawasan perlombongan haram bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, Mukim Lawin, daerah Hulu Perak yang didapati membawa kemusnahan kepada ekosistem di kawasan tersebut.

“Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan mengikut peruntukan perundangan oleh pihak berkuasa yang terlibat,” katanya.

Pada 8 Dis, seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan, kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata serbuan yang merupakan kerjasama pihaknya dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) melalui Op Khazanah itu, dilakukan di beberapa lokasi berasingan.

Mengenai projek pembangunan Galeri Lenggong Geopark yang merupakan projek usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, Nik Nazmi berkata beliau percaya penubuhannya akan menjadi hub maklumat, yang berupaya mengetengahkan keistimewaan bagi menarik para pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata ia sekali gus memberi peluang orang ramai untuk mempelajari dan meneroka keunikan warisan arkeologi dan kepelbagaian sumber geologi di kawasan itu. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings