KUCHING: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada pengamal media, Irwan Budi Annuar yang diuji beberapa masalah kesihatan, menerusi program Kasih@HAWANA 2023.

Irwan Budi, 49, yang merupakan penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang menghidapi komplikasi buah pinggang dan paru-paru, selain penglihatan yang semakin kabur.

Memahami kepentingan menjaga kebajikan golongan pengamal media secara menyeluruh, Fahmi berkata kementeriannya akan berbincang dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperluas jaringan keselamatan sosial khususnya kepada wartawan separuh masa.

“Saya melihat semakin hari semakin banyak organisasi media yang menggunakan khidmat wartawan sementara atau stringers dan sekiranya berlaku perkara tidak diingini, jaringan keselamatan mereka tidak sebaik (pekerja) yang bekerja sepenuh masa.

“Jadi, dalam masa seminggu atau dua minggu lagi kita akan adakan pertemuan dengan Perkeso untuk meneliti isu ini dan mengembangkan skop jaringan keselamatan,” katanya ketika ditemui di kediaman Irwan Budi di Jalan Bako, Petra Jaya, hari ini.

Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak bermula hari ini hingga Ahad sempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, pada Sabtu.

Berkhidmat kira-kira 20 tahun di RTM, Irwan Budi berkata beliau sebelum ini bertugas di RTM Limbang, namun ditukarkan ke Kuching berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak lebih setahun lepas.

“Pada awalnya saya merupakan pekerja berstatus ‘piecemeal’ di RTM pada 2004 sebelum dilantik menjadi pekerja tetap pada 2005. Meskipun keadaan saya begini sekarang, saya masih pergi ke pejabat untuk bekerja,” kata bapa kepada tiga orang anak berusia 15 hingga 19 tahun itu.

Hadir sama, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jamaluddin Muhammad dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 14 April lepas sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

Mengenai penganjuran HAWANA 2024 di Sarawak, Fahmi berkata belum ada perbincangan secara teliti diadakan bagi memutuskan sama ada program berkenaan akan berlangsung di Bumi Kenyalang tahun depan.

“Kami (KKD) belum bincang secara terperinci kerana buat masa ini kami perlu selesaikan tugas yang ada...termasuklah sambutan Hari Malaysia Sabtu ini. Jadi selepas beberapa perkara selesai, kami akan bincangkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, sumbangan Tabung Kasih@HAWANA turut disampaikan kepada bekas editor sukan New Sarawak Tribune, Juary Mesa yang menghidap strok sejak 2021.

Sumbangan disampaikan Sekretariat HAWANA 2023 yang menziarahi beliau di kediamannya di Kampung Moyan Lidang, Asajaya. -Bernama