the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
31.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sembilan lelaki termasuk lima warga asing ditahan bantu siasatan gaduh di kilang

KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan antara warga tempatan dan asing di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata empat lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing itu ditahan pada 3.30 pagi tadi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan menyatakan pada 5.30 petang pengadu ditumbuk suspek seorang lelaki warga asing yang menyebabkan pergaduhan antara mereka, dan pengadu cedera ringan di kedua-dua lutut.

Pergaduhan itu, katanya dipercayai berpunca daripada seorang pekerja warga asing didakwa melanggar bahu seorang pekerja warga tempatan ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar menggunakan cap jari selepas tamat masa berkerja.

“Suspek warga asing melanggar bahu pekerja tempatan itu, namun ia langsung tidak diendahkan. Seorang lagi pekerja warga asing tiba-tiba menjerit dan menuding jari ke arah pekerja tempatan itu sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang sambil memegang sebatang kayu.

“Pekerja tempatan terbabit tidak mengendahkan ajakan itu, namun sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari belakang. Kejadian menyebabkan pergelutan sebelum keadaan bertukar menjadi huru-hara apabila disertai lebih ramai individu daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Mohd Zaidi berkata pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta pekerja kilang yang lain. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings