KOTA KINABALU: Kerosakan kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan punca kepada gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Labuan Isnin lepas, kata Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.

Beliau berkata gangguan bermula 4.22 petang dan menjejaskan bekalan elektrik ke kawasan Jeti Lama Labuan, Masjid India, Bangunan Alliance Bank, Melati Inn Hotel, Terminal Ferry Roro, Terminal Ferry Labuan, Labuan Liberty Port, kawasan Jalan OKK Abdullah, Pejabat Pos Dataran, Mariner Hotel, Jalan Bunga Anggerik dan Jalan Bunga Dahlia.

“SESB Zon Labuan telah menerima makluman gangguan bekalan pada 4.22 petang dan pemeriksaan dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB.

“Kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan yang melibatkan kabel bawah tanah itu memerlukan kepakaran dan kemahiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dibuat secara berperingkat dan serta-merta.

“Bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan ke beberapa kawasan, manakala masih terdapat beberapa kawasan lagi tidak dapat ditenagakan dan memerlukan kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu.

“Lokasi kerosakan kabel bawah tanah berjaya dikenal pasti dan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta-merta,” katanya. -Bernama