KOTA BHARU: Walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), tetapi ia tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa NurulAin Natasha Marzuki, 20, meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42 pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik yang kudung tangan kanan dari paras siku itu berkata hampir setiap hari beliau akan meluangkan masa sekitar lima jam bermula selepas Maghrib sehingga pukul 1 pagi untuk mengulang kaji pelajaran, selain memberi perhatian lebih kepada topik yang kurang difahami.

“Walaupun saya dilahirkan dengan kekurangan diri sejak lahir, saya sama sekali tidak menjadikan ia sebagai penghalang untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan harian.

Saya terpaksa bergantung hampir setiap masa kepada tangan kiri sahaja termasuk untuk menulis, makan dan sebagainya tetapi ia tidak langsung melemahkan semangat saya kerana sudah terbiasa dengan keadaan ini sejak kecil lagi,“ katanya ketika ditemui pemberita di SMK Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

NurulAin Natasha berkata beliau turut menunaikan solat sunat tahajud dan duha hampir setiap hari kerana beliau percaya untuk memperoleh kejayaan yang diberkati hubungan dengan Allah SWT perlu dijaga.

“Apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, pastinya ada ganjaran yang akan diberikan oleh-Nya. Saya masih tidak sangka akan meraih keputusan cemerlang hari ini, bagaikan mimpi buat saya.

Saya harap dengan kejayaan yang diperolehi ini ia dapat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama kepada mereka yang senasib dengan saya,“ katanya yang nekad untuk mengubah nasib keluarga.

Beliau yang bercita-cita menjadi seorang guru berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris atau Universiti Kebangsaan Malaysia, selain ingin mewakili negara pada temasya sukan dwitahunan serantau iaitu Sukan Para ASEAN.

“Pada November tahun lalu, saya berjaya meraih pingat emas menerusi sukan olahraga dalam acara 200 meter pada Para Sukan Malaysia (Sukma) yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN). Oleh itu, selepas ini saya meletakkan sasaran ingin mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa pula,“ katanya.

Terdahulu, Pengetua SMK Pengkalan Chepa Raja Anoro Raja Kob menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap sembilan pelajarnya yang berjaya meraih keputusan PNGK 4.0 dalam STPM 2022. -Bernama