the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Syarikat dibantu Wan Saiful peroleh penarafan empat bintang, mahkamah diberitahu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa hari ini diberitahu bahawa syarikat kontraktor Nepturis Sdn Bhd telah memperolehi penarafan empat bintang daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Penolong jurutera CIDB Siti Nooraishah Zainal Abidin, 36, berkata satu surat atas nama Nepturis Sdn Bhd dikeluarkan daripada Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS) CIDB selepas syarikat berkenaan membuat permohonan Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE).

“Sistem CIMS akan mengeluarkan nombor rujukan permohonan bagi proses permohonan SCORE. Hasil semakan semula terhadap dokumen yang telah dimuat naik syarikat Nepturis mendapati syarikat berkenaan telah memperolehi penarafan empat bintang.

“Saya sahkan pernah melihat surat SCORE CIDB atas nama Nepturis Sdn Bhd bertarikh 26 Okt 2021,“ kata saksi pendakwaan kelima itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali.

Nepturis adalah sebuah syarikat yang didakwa dibantu oleh Wan Saiful bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Disoal Siti Amirah apakah keperluan untuk sesuatu syarikat mendapatkan penarafan bintang daripada pihak CIDB, Siti Nooraishah berkata ia untuk memberi pengiktirafan kepada kontraktor yang mempunyai keupayaan dan kemampuan seterusnya membantu pihak pelanggan bagi memilih kontraktor berkaliber.

Mengulas lanjut, saksi berkata dalam SCORE, pihak CIDB akan membuat penilaian berdasarkan dokumen yang dimuat naik oleh kontraktor atau syarikat antaranya prestasi perniagaan, keupayaan kewangan, keupayaan teknikal, pengurusan perniagaan, pengurusan projek, amalan terbaik dan keupayaan pengurusan.

Kepada soalan peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful sama ada skor diberikan CIDB adalah satu syarat untuk sesuatu syarikat kontraktor membida projek daripada kerajaan Malaysia, saksi menjawab ia terpulang kepada pelanggan untuk meletakkan skor adalah syarat wajib atau tidak.

Menurut Siti Nooraishah, selain menilai kemampuan dan keupayaan sesuatu syarikat, CIDB juga akan menyemak status sesuatu syarikat kontraktor itu sama ada ia bertaraf bumiputera atau tidak.

Bagaimanapun, saksi itu berkata status syarikat Nepturis tidak dinyatakan dalam Certificate of Achievement syarikat berkenaan tetapi mungkin ia dinyatakan dalam sistem CIMS.

“Namun, saya tidak pasti status syarikat Nepturis (bumiputera atau tidak) kerana ia bukan dalam skop kerja saya. Saya bekerja di Unit Akreditasi,“ katanya.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 29 April ini. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings