BUTTERWORTH: Tesla mengaktifkan stesen Pengecas Super pertama di Pulau Pinang bertempat di Sunway Carnival Seberang Jaya di sini, iaitu tambahan kepada dua stesen Pengecas Destinasi sedia ada di The Ship Campus, Batu Kawan dan All Seasons Place di George Town.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika Syarikat itu memaklumkan kemajuan ini bukan sahaja memenuhi keperluan pengecasan tempatan tetapi juga melancarkan perjalanan pemilik Tesla untuk merentasi laluan dari Singapura ke Johor dan seterusnya ke Pulau Pinang.

“Stesen Pengecas Super Sunway Carnival menawarkan empat Pengecas Super, menjadikan jumlah keseluruhan empat Pengecas Super dan 12 Pengecas Destinasi di Pulau Pinang.

“Pengaktifan ini membuktikan kemajuan ketara dalam meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan mengecas kenderaan elektrik di rantau ini,“ katanya.

Menurut kenyataan itu, syarikat itu menawarkan pengalaman pemilikan yang komprehensif dengan menyediakan penyelesaian pengecasan yang lancar dan integrasi teknologi dengan konsep plug in, charge and go’ adalah yang terbaik untuk menggambarkan pengalaman pengecasan Tesla.

Melalui Apl Tesla, pengguna boleh mencari, menavigasi ke dan memantau status Pengecas Super dengan mudah dan pembayaran akan diproses secara automatik.

“Dengan yuran Pengecasan Super bayar setiap penggunaan sebanyak RM 1.25/kWj, Tesla memastikan pengecasan yang cekap kos,” katanya.

Setakat ini, Tesla mempunyai lapan stesen Pengecas Super dan 10 stesen Pengeca Destinasi, menawarkan sejumlah 40 pengecas dan 61 Pengecas Destinasi di Malaysia melalui pengembangan berterusan untuk memudahkan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, dengan terdapat 11 stesen Pengecasan Super dan sembilan stesen Pengecas Destinasi.

“Tesla komited untuk memajukan infrastruktur pengecasnya di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kemudahan mengecas Tesla,“ tambahnya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image