Your Title

KUALA LUMPUR: Dalam satu pencapaian yang luar biasa, trailer filem terbaharu pelakon Tamil Vijay bertajuk “Leo” telah memecahkan rekod dengan menjadi trailer filem India yang paling pantas mendapat sejuta tanda suka di YouTube.

Menurut beberapa laporan portal hiburan India, kejayaan itu dicapai dalam masa hanya 21 minit, mengatasi rekod sebelum ini turut dipegang filem Vijay bertajuk “Bigil,“ yang mengambil masa kira-kira satu jam untuk mencapai tahap yang sama pada 2019.

Diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj, “Leo” menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Sanjay Dutt, Anurag Kashyap, Arjun Sarja, Mysskin, Trisha dan Priya Anand.

Kerjasama itu menandakan projek kedua Vijay bersama Lokesh selepas kejayaan “Master” yang ditayangkan pada 2021 dan filem kelimanya bersama Trisha dalam tempoh lebih 15 tahun.

Trailer itu memberikan gambaran menarik tentang filem tersebut, menunjukkan Vijay dan Trisha berusaha keras untuk melindungi keluarga mereka daripada musuh yang ganas.

Dalam tempoh hanya 12 jam selepas pelancarannya, “Leo” telah memperoleh 25 juta tontonan yang mengagumkan, mengukuhkan statusnya sebagai satu daripada filem paling dinanti-nantikan tahun ini.

“Leo” dijadualkan akan ditayangkan di pawagam di seluruh dunia pada 19 Oktober, menjanjikan penonton satu pengalaman sinematik penuh aksi. -Bernama