NILAI: Seramai 39,315 mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dan usahawan dalam kalangan keluarga B40 mendaftar bagi inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) sejak Januari 2021 hingga 31 Ogos lepas.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azman Mohd Yusof berkata SPPP yang diperkenalkan pada Disember 2020 itu, memberi peluang kepada kelompok berkenaan mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tanpa dikenakan bayaran.
“Kalau tengok statistik, 18,001 pendafaran terdiri daripada pelajar IPT manakala 21,314 lagi usahawan B40. Ini menunjukkan bilangannya perlu dipertingkatkan sebab lebih banyak peratusan (yang mendaftar) untuk melahirkan usahawan lebih bagus dan bagi tahun ini sahaja kita sasarkan 20,000 yang mendaftar SPPP.
“Kesedaran peserta tentang pentingnya mendaftarkan perniagaan dengan sah membolehkan mereka menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan kerajaan seperti bantuan kewangan, bantuan peralatan, latihan dan lain-lain bimbingan keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) peringkat negeri di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi SSM, berkata melalui perniagaan yang sah usahawan boleh merebut pelbagai bantuan yang disediakan agensi kerajaan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Majlis Amanah Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Justeru, beliau menyeru peserta mengambil peluang mendaftarkan perniagaan masing-masing bagi memastikan ia dijalankan secara sah di sisi undang-undang sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.
Menurutnya antara sektor yang paling banyak didaftarkan menerusi SPPP adalah peruncitan dan borong, makanan dan minuman, pembuatan serta pembinaan.
Mengenai PUM22 yang memasuki siri kelima di Negeri Sembilan, Azman berkata ia bagi memberi pendedahan awal kepada peserta terhadap kemahiran asas sebelum menceburi bidang perniagaan, sekali gus melahirkan usahawan muda yang mampu memacu ekonomi negara pada masa depan.
Katanya menerusi program itu juga, peserta didedahkan dengan faedah pengurusan kewangan, pemasaran digital dan perlindungan hak pengguna supaya mereka lebih peka serta prihatin tentang isu kepenggunaan.
“Jadi mereka ada pertimbangan sewajarnya untuk mendaftarkan perniagaan selain menjadikan perniagaan sebagai pilihan utama kerjaya setelah tamat pengajian. Kita mahu usahawan memperkenalkan produk mereka dengan betul kerana kita risau disebabkan nak cepat kaya mereka buat benda yang berbentuk ‘scam’ dan menipu orang ramai,” katanya dan menambah seramai 600 peserta menyertai PUM22 kali ini.-Bernama