• 2025-07-24 10:53 AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh nilai bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, namun ia amat bermakna buat rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.

“(Semua kritik) RM100 saja, (tapi) kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan. (Memang) RM100 itu tak ada apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung (ada manfaatnya),” kata Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika ditambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada, jumlahnya boleh meningkat hingga RM700.

“...jadi jangan remehkan usaha kerana itu upaya kita (kerajaan) untuk tambah peruntukan sedia ada, daripada RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata Anwar - Bernama