• 2025-07-25 10:17 AM

GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menjalin kerjasama bagi memperluas pelaksanaan kemudahan rawatan automotif berlesen (AATF) di utara Semenanjung.

Menterinya Anthony Loke berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik dalam menangani isu lambakan kenderaan terbiar di sekitar Pulau Pinang yang bukan sahaja menjejaskan pemandangan bandar malah menimbulkan risiko keselamatan dan alam sekitar.

“Baru-baru ini saya menerima kunjungan delegasi daripada MBPP di Kuala Lumpur bagi membincangkan kerjasama memperluas pelaksanaan AATF di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

“Perbincangan ini amat bermakna dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kenderaan terbiar di sekitar negeri Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam ini.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan sistem e-Dereg dan penggunaan fasiliti AATF yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar, proses pelupusan kenderaan dapat dilakukan dengan lebih cekap, selamat dan mesra alam tanpa memerlukan pemilik untuk hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Loke turut menghargai komitmen MBPP dalam menyokong pelaksanaan pendekatan baharu itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kelestarian bandar raya dan kesejahteraan rakyat - BERNAMA