KUALA TERENGGANU: Kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19, memberi kelebihan buat seorang pelajar berkeperluan khas (CBK), sekali gus membolehkannya meraih keputusan cemerlang 9A+ dan 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Tengku Abdul Aziz Tengku Md Fauzi, 18, dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun itu menghadapi masalah pendengaran sejak lahir dan beliau mengakui lebih selesa mengikuti PdPR kerana boleh melaraskan nada audio mengikut kesesuaiannya.
“Kalau belajar secara bersemuka, saya mudah pening kepala kerana perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap suara guru di dalam kelas, berbeza dengan PdPR, penggunaan fon kepala sangat memudahkan saya untuk belajar.
“Alhamdulillah, walau jadual sangat padat sepanjang PdPR, sokongan dari keluarga, guru dan rakan-rakan banyak membantu saya untuk lebih memahami subjek yang diajar dan kejayaan ini diharap dapat memberi inspirasi untuk lebih ramai calon berkeperluan khas SPM yang lain,“ katanya yang juga seorang hafiz.
Remaja itu berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pengumuman keputusan SPM oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu di sini hari ini.
Seorang lagi pelajar cemerlang Muhammad Imran Mohd Ropidi, 18, dari SM Imtiaz Besut yang memperolehi 12A+, mengakui agak tertekan ketika mengikuti PdPR.
Namun katanya beliau konsisten membuat persediaan sebelum kelas dan mengulang kaji pelajaran.
“Walaupun PdPR mempunyai cabaran tertentu, saya mampu mengharunginya berkat bimbingan guru dan kerja berpasukan,“ katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Sains Sosial di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.-Bernama