• 2025-07-14 10:53 AM

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk suspek terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan pada Ahad di negeri Kentucky, Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gabenor Kentucky Andy Beshear mengesahkan jumlah kematian menerusi platform media sosial X, memaklumkan bahawa insiden tembakan di Richmond Road Baptist Church di Lexington meragut dua nyawa.

Kejadian bermula pada 11.36 pagi waktu tempatan (1536GMT) apabila seorang suspek menembak seorang anggota Polis Negeri Kentucky di Terminal Drive berhampiran Lapangan Terbang Blue Grass.

Ketua Polis Lexington, Lawrence Weathers berkata anggota itu telah menahan sebuah kenderaan selepas menerima amaran nombor pendaftaran di kawasan Versailles Road. Anggota berkenaan ditembak di lokasi kejadian dan kini berada dalam keadaan stabil.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tembakan tidak berlaku di dalam terminal lapangan terbang dan tiada kaitan dengan operasinya.

Suspek kemudian merampas sebuah kenderaan di blok 3700 Belleau Drive dan memandu ke Richmond Road Baptist Church sebelum melepaskan tembakan.

Empat individu terkena tembakan di gereja itu, termasuk dua wanita — masing-masing berusia 72 dan 32 tahun — yang disahkan meninggal dunia di lokasi. Dua lelaki turut cedera; seorang dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi stabil.

Koroner Daerah Fayette mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Beverly Gum, 72, dan Christina Combs, 32, kedua-duanya ahli gereja berkenaan.

Pasukan penguat kuasa kemudiannya menembak mati suspek di lokasi kejadian.

Pasukan Tindak Balas Insiden Kritikal dan Unit Integriti Awam Polis Negeri Kentucky sedang menyiasat kejadian itu.

Identiti suspek akan didedahkan selepas waris terdekat dimaklumkan - BERNAMA-ANADOLU