TAWAU: Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew (gambar) tewas kepada calon GRS, Lo Su Fui yang juga seorang peguam dengan majoriti 3,800 undi dalam pertandingan enam penjuru di kerusi Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) .
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen berkenaan, Mohd Shoffian Mohd Said mengumumkan Lo, daripada Parti Bersatu Sabah, menewaskan Liew yang memenangi kerusi itu pada PRU14.
Lo mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan tidak melihat kemenangan itu sebagai kemenangan peribadi sebaliknya ia merupakan komitmen untuk membangunkan Tawau dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita akan berbincang dengan semua pemimpin setempat di Tawau bagi merangka sebuah pelan untuk membangunkan Tawau dengan lebih berkesan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Lo memperoleh 19,865 undi, Liew (16,065), Chen Ket Chuin mewakili Warisan (11,263), Herman Amdas daripada Pejuang (1,067), dan dua calon Bebas iaitu Mohd Salleh Bacho (1,776), dan Datuk Chin Chee Syn (651).
Di PENAMPANG, Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menewaskan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking bagi kerusi Parlimen Penampang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen itu, Francis Chong mengumumkan Ewon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menewaskan Darell yang menyandang kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 14,410 undi.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Kadamaian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu berkata beliau melihat dirinya sebagai calon bukan pilihan yang baharu bertanding di Penampang.
“Sudah semestinya saya sebagai rakan luar dari Penampang sebelum ini saya akui bekerja keras selama dua minggu ini berkempen untuk memberi penjelasan kepada rakyat Penampang,“ katanya yang memaklumkan Darell turut menghubunginya untuk mengucapkan tahniah.
Ewon berkata beliau akan segera melaksanakan gerak kerja membantu penduduk di kawasan Penampang.
Dalam pertandingan empat penjuru Parlimen itu, Ewon memperoleh 29,066 undi, Darell (14,656), Kenny Chua Teck Ho mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6,719), dan calon Bebas Richard Jimmy (289).-Bernama