KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Dr Shahrazat Ahmad sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan membantu suruhanjaya itu dalam penggubalan dasar dan mencapai objektif strategik untuk membangunkan pasaran modal yang teguh dan berdaya saing.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin (gambar) berkata latar belakang luas Shahrazat dalam bidang kewangan, ditambah dengan rekod prestasinya yang terbukti dalam pembangunan strategik dan pengurusan pelaburan menjadikan pelantikan beliau sebagai suatu yang berharga kepada Lembaga Pengarah SC.

Lembaga pengarah bertanggungjawab ke atas keseluruhan tadbir urus SC dan mengawasi mandat kawal selia dan pembangunan suruhanjaya itu.

Awang Adek berkata dengan kerjaya yang menjangkau hampir 30 tahun di beberapa kementerian dan agensi utama, Shahrazat membawa bersama beliau pengalaman dan kepakaran bagi menggalas peranannya sebagai ahli lembaga pengarah.

Shahrazat kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) di Kementerian Kewangan, jawatan yang disandangnya sejak Oktober 2023.

Beliau juga memegang pelbagai jawatan kanan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, terutamanya sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan).

Shahrazat dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu SC bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Februari 2024. -Bernama